Friday, September 21, 2007

Dari Abu Hurairah, r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan menyerulah Malaikat, katanya: "Wahai orang yang mencari dan berkehendakkan kebaikan: Tampillah mengerjakannya, dan wahai orang yang merasa mahukan kejahatan; berhentilah dari meneruskannya; dan (ketahuilah) Allah banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka daripada memasukinya". Seruan dan keampunan yang demikian, ada pada tiap-tiap malam (dalam bulan yang tersebut)." Hadith riwayat Tirmizi dan al-Nasa’i

Ulasan hadith
Bulan Ramadhan ialah bulan yang mulia dan diberkati Allah, tiap-tiap amal kebajikan yang dikerjakan pada bulan ini akan digandakan pahalanya.Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w., menyatakan: Apabila tiba bulan Ramadhan, Malaikat menyeru manusia menggunakan peluang yang baik itu dengan mengerjakan amal-amal kebajikan lebih dari biasa, dan sebaliknya mana-mana yang hendak melakukan kejahatan janganlah mereka melakukannya. Malaikat juga menerangkan tentang sifat pengampun Allah Taala yang membebaskan orang-orang yang berbuat berdosa. Peluang yang baik dalam bulan yang mulia ini harus digunakan dengan sepenuhnya.

LUKa : Kerjakan kebaikan... hindarkan kejahatan...

Thursday, September 20, 2007

"Barangsiapa mengerjakan puasa bulan Ramadhan sedang ia mengetahui batas-batas larangannya, dan berusaha dengan bersungguh sungguh menjaga diri daripada melakukan sesuatu yang merosakkan puasanya, (maka dengan itu) akan diampunkan dosanya yang telah lalu..." Hadith Riwayat Baihaqi dan Ibnu Hibban

Ulasan hadith:
Orang yang mengerjakan puasa dituntut supaya mengetahui hukum hukum syarak mengenainya, kerana dengan itulah sahaja ia dapat menjaga diri dan mengawal hawa nafsunya daripada melakukan sesuatu yang merosakkan puasanya atau merosakkan pahalanya. Berpuasa bukan hanya membawa maksud menahan diri daripada lapar dan dahaga sahaja malah menjaga diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Perkara-perkara yang membatalkan puasa terbahagi kepada dua iaitu pertama, yang membatalkan puasa dan diwajibkan mengqadhanya sahaja dan yang kedua, yang membatalkan puasa dan diwajibkan mengqadhanya serta dikenakan kifarat (denda).

LUKa : Peliharalah puasa dengan sebaik-baiknya... Pastikan seluruh anggota badan sama-sama ’berpuasa’.

Wednesday, September 19, 2007

Dari Ibn Abbas r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat-sangat pemurah (dan sentiasa bersedekah), lebih-lebih lagi kemurahannya dan sedekah pemberiannya dalam bulan Ramadhan, ketika malaikat Jibril datang menemuinya. Baginda ditemui oleh Jibril tiap-tiap malam dalam bulan Ramadhan untuk bertadarus al-Qur’an bersama. Sebenarnya Rasulullah s.a.w. sangat-sangat bermurah hati dan sentiasa mengerjakan kebajikan (dengan tidak bertangguh lagi), lebih deras daripada hembusan angin (pembawa rahmat)". Hadith Riwayat Bukhari

Ulasan hadith
Kemuliaan akhlak Rasulullah s.a.w. tidak ada tandingannya, sehingga Baginda dipuji oleh Allah S.W.T. di dalam al-Qur’an al-Karim. Di antara sifat-sifat Baginda yang mulia seperti digambarkan di dalam hadith ini ialah tangannya sentiasa terbuka untuk memberikan bantuan kepada orang-orang yang memerlukannya, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan, kerana pahalanya lebih besar daripada pemberian pada bulan-bulan yang lain.

LUKa : Memperbanyakkan sedekah di dalam bulan Ramadhan...

Tuesday, September 18, 2007

Salman bin Amir Al-Dabiy r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: "Apabila seorang dari kamu berbuka puasa, hendaklah ia berbuka dengan buah kurma, kerana buah kurma itu ada berkatnya (banyak khasiatnya). Kalau orang itu tidak dapat buah kurma maka memadai juga dengan air sejuk, kerana air itu bersih lagi membersihkan" dari Hadith Riwayat Abu Daud dan Tirmizi.

Ulasan hadith
Perintah Baginda supaya umatnya berbuka puasa dengan buah kurma ialah perintah sunat, malah Baginda sendiri mengamalkannya. Tidak dapat dinafikan bahawa buah kurma banyak faedahnya dan khasiatnya. Ia dapat memberi tenaga dan jika ada bekas bekas makanan yang terpendam ia dapat membersihkannya. Demikian juga halnya air sejuk yang sedia diketahui oleh umum tentang faedahnya kepada tubuh badan dan perjalanan darah.

LUKa : Amalkan berbuka dengan buah kurma, bukan sahaja dapat mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W malah ia juga dapat menjaga kesihatan diri.

Monday, September 17, 2007

Anas bin Malik r.a katanya :Rasulullah s.a.w. bersabda "Bersahurlah kamu, kerana makanan sahur itu mengandungi berkat..." Dari hadith riwayat Bukhari dan Muslim...

Ulasan hadith
Orang yang mematuhi perintah ini akan berolehi banyak faedah daripadanya, samada ketika ia bangun makan sahur atau ketika ia berpuasa pada esok harinya... Ia membolehkan seseorang itu mengerjakan sesuatu amal ibadat dan berdoa, kerana waktu itu sangat sangat makbul doanya lebih lebih lagi kalau ia meneruskan ibadatnya sehingga terbit fajar. bangun pagi dalam keadaan segar dan bertenaga untuk berpuasa. Bersahurlah walaupun dengan hanya meminum segelas air kerana Allah telah menjanjikan keberkatan padanya.

LUKa : Jangan tidak bangun sahur...

Friday, September 14, 2007

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat 185 bermaksud "Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah di bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan atau ketahuinya, maka hendalah ia berpuasa pada bulan itu..."

Ulasan ayat
Ayat ini menyatakan tentang kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan setelah jelas kelihatan anak bulan Ramadhan. Dibulan ini juga telah diturunkan Al Quran sebagai petunjuk dan panduan bagi seluruh umat Islam. Didalamnya terkandung segala perkara serta hukum berkaitan kehidupan manusia yang wajib dipatuhi serta diamalkan. Memanfaatkan segala kesempatan dengan mengerjakan amalan kebaikan dan memohon pertolongan daripada Allah agar dapat menunaikan ibadah dengan sempurna...

LUKa : Berpuasa itu satu kewajipan... tunaikannya dengan penuh sempura...

Wednesday, September 5, 2007

Hadith Riwayat Muslim bermaksud "Sesungguhnya Allah S.W.T akan berkata pada Hari Qiamat kelak, Dimanakah orang orang yang berkasih sayang keranaKU, pada hari ini AKU melindungi mereka dibawah naunganKU, pada hari yang tiada ada perlindungan melainkan perlindunganKU sahaja..."

Ulasan Hadith

Hadith diatas menyatakan tentang ganjaran bagi orang orang yang berkasih sayang kerana Allah S.W.T. Allah akan memberikan perlindungan kepada mereka pada hari di mana tiada perlindungan yang dapat menyelamatkan manusia melainkan perlindunganNya. Tidak salah untuk menabur kasih dan menyemai sayang tapi biarlah pada tempatnya. Jangan nanti kasih yang ditabur, kaca yang diterima. Biarlah berkasih sayang mengikut landasan syarak...