Firman ALLAH SWT bermaksud : “( Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat .perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan (Surah Al Ahzab : 72)
ULASAN AYAT
Pelbagai keadaan manusia pada hari ini. Ada yang sering menzalimi diri mereka dan kadangkala melakukan kezaliman kepada orang lain. Adalah menjadi sesuatu yang amat menghairankan jika ada di kalangan mereka yang sentiasa bermuhasabah dan sentiasa mengingati mati. Ada ketikanya kita hairan melihat orang yang sudah mengetahui bahawa dia akan mati, tetapi masih ketawa, orang yang sudah mengetahui bahawa dunia akan binasa, tetapi masih mencintainya, orang yang sudah mengetahui bahawa semua perkara terjadi menurut takdir, tetapi masih bersedih kerana kehilangan sesuatu, orang yang sudah mengetahui bahawa di akhirat ada perhitungan, tetapi masih sibuk mengumpulkan harta sehingga lupa pada ALLAH. Kita juga hairan melihat orang yang mengetahui akan azabnya neraka, tetapi masih melakukan dosa, orang yang sudah mengenal ALLAH dengan yakin, tetapi masih mengingati selainNya, orang yang sudah mengenal syaitan sebagai musuhnya, tetapi masih mahu mengikuti jejak langkahnya. Justeru, tanyalah pada diri kita, adakah kita juga termasuk dikalangan mereka? Bersamalah kita berusaha bagi memastikan diri kita tidak termasuk di dalam golongan yang lalai lagi menzalimi diri sendiri. WALLAHU’ALAM.