Sabda Rasulullah SAW bermaksud ;(Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat di hadapan ALLAH sehingga disoal tentang lima perkara; tentang umurnya, waktu mudanya,dan hartanya daripada mana ia dapat dan bagaimana membelanjakannya, dan apa yang dia amalkan daripada ilmunya).( Riwayat Ibnu Hibban & Tarmizi )
ULASAN HADIS
Sebagai makhluk terbaik yang diciptakan oleh ALLAH, manusia dikurniakan akal budi, boleh berfikir dan menentukan sesuatu yang terbaik. Kehidupan manusia merupakan anugerah yang tidak ternilai daripada ALLAH di muka bumi ini. Kita makhluk yang sempurna serta mampu menguruskan kehidupan menggunakan akal fikiran yang dikurniakan. Namun masih ada yang lupa dan leka. Maka hidup dan pekerjaan yang dilakukan semuanya berdasarkan apa yang dikehendaki semasa hayat kita. Untuk memperolehi semua itu, manusia terpaksa sentiasa berlumba dalam kehidupan dengan orang lain yang menyebabkan kita kadang-kadang terpaksa mengetepikan soal halal haram, yang boleh dan tidak boleh. Kita bekerja seharian, bertungkus-lumus, keluar pada waktu pagi dan pulang pada sebelah petang. Untuk apa kita bekerja hingga sebegitu rupa. Sehinggakan ada kalanya kita bekerja seolah-olah tidak cukup siang, sehinggakan waktu rehat pada malamnya dikorbankan, semata-mata untuk bekerja. Sedangkan aturan dan panduan hidup yang telah digariskan oleh ALLAH tidak begitu. Oleh yang demikian sekiranya apa yang diusahakan di dunia ini kita belanjakan dan kita gunakannya untuk tujuan kebaikan serta mendapat keredhaan ALLAH, maka itulah jawabannya. Mungkin ada yang mempunyai rumah besar dan mewah yang digunakan untuk memberi perlindungan kepada anak-anak dan isteri. Di dalam rumah itu pula dipenuhi dengan amalan yang baik seperti membaca Al-Quran dan bukannya kegiatan maksiat parti arak dan tari-menari. Apakah masih belum kita temui pencarian kita di dunia ini? Dunia hanyalah tempat persinggahan untuk menambahkan bekalan bagi meneruskan perjalanan yang masih jauh iaitu ke akhirat. Justeru kita mencari bekalan yang memungkinkan kita sampai ke akhirat dengan baik dan dapat kita “membeli” keadaan yang baik, mewah dan sempurna di akhirat. ALLAH tidak akan membiarkan kaki kita berganjak di akhirat nanti sehinggalah ditanyakan tentang lima perkara yang disebut di dalam hadis di atas. Fikir-fikirkanlah bagaimanakah cara kita menggunakan 5 perkara tersebut?. WALLAHU’ALAM