Maksudnya: " (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah ! Dengan ‘zikrullah’ (mengingati Allah) itu, tenang tenteramlah hati manusia". (Surah Ar-Ra’d: 28)
Ulasan Ayat :
Ayat ini menyatakan tentang ketenteraman hati orang-orang yang beriman yang sentiasa membasahi lidah mereka dengan zikrullah. Sesungguhnya hanya dengan mengingati Allah S.W.T. hati-hati manusia akan menjadi tenang. Dalam ayat yang berikutnya Allah S.W.T. menyatakan balasan bagi orang-orang yang beriman yang sentiasa mengingatiNya. Mereka dijanjikan ketenangan, kebahagiaan dan tempat kembali yang baik.
Maksudnya: Daripada Abu Said Al-Khudri r.a, Rasulullah SAW bersabda kepadanya; “ Wahai Abu Said! Siapa yang meredhai Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, dan Muhammad sebagai Nabi, maka wajiblah baginya syurga.” -Hadis riwayat Muslim
Ulasan ayat:
Hadis di atas menunjukkan kepada kita betapa pentingnya keredhaan hati dalam melaksanakan tuntutan Allah di atas muka bumi. Tidak dapat dinafikan bahawa dalam melaksanakan amal ibadah, adakalanya kita rasa terpaksa melakukannya. Apabila kita melaksanakannya dalam keadaan terpaksa, maka ibadah dan amal yang dilakukan akan menjadi lebih sukar dan berat. Berbanding dengan mereka yang melakukan amal ibadah dalam keadaan redha, maka amalan itu akan dirasakan mudah dan mereka akan terus istiqamah dalam mengerjakannya. Menurut Qadhi ‘Iyad, hal yang demikian itu adalah kerana sesiapa yang meredhai sesuatu perkara, maka urusannya akan menjadi lebih mudah. Begitu juga orang yang beriman, tatkala iman menguasai hati maka mudahlah dia melakukan ketaatan dan merasai kelazatannya (Syarah Sahih Muslim).