Thursday, September 17, 2009

Selamat Hari Raya Aidil Fitri...

Dikesempatan ini saya & keluarga ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, Maaf Zahir & Batin buat semua rakan2 diseluruh Malaysia. Saya juga ingin memohon ampun & maaf jika ada terkasar bahasa yang menguris hati & perasaan kwn2 semua.

Bermaafanlah sesama kita utk Aidilfitri yg lebih bermakna. Berhemahlah dijalanraya ketika balik kampung...

Wednesday, September 9, 2009

puasa yang sia2...

هريرة رضى الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم من لم يدع قول الزور والعمل به والجهل فليس لله حاجة أن يدع طعامه وشرابه

Maksudnya : Dari Abu Hurairah RA, katanya: Rasulullah SAW. bersabda: "Barangsiapa tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya dan perbuatan liar yang lazimnya dilakukan oleh orang-orang jahil, maka tiada bagi ALLAH sesuatu hajat tentang ia meninggalkan makanannya dan minumannya". (Riwayat Bukhari dan Abu Daud)

Tujuan diwajibkan oleh ALLAH SWT berpuasa dalam bulan Ramadhan ialah untuk mendidik diri sehingga ia dapat mencapai darjat “taqwa” seperti yang ditegaskan di dalam Al-Quran. Maksud "taqwa" ialah mengerjakan apa yang disuruh (yang wajib dan yang sunat) dan mencegah diri daripada melakukan segala yang dilarang (yang haram dan yang makruh). Puasa yang sempurna dan diredhai ALLAH bukan setakat menahan diri daripada makan dan minum dan segala yang membatalkan puasa, tetapi hendaklah juga membendung segala anggota dan pancaindera daripada melakukan sesuatu yang boleh merosakkan pahala puasanya. Orang-orang yang bersifat seperti dinyatakan hadith di atas, sia-sia sahaja puasanya, kerana ALLAH SWT tidak memberikan sebarang penghargaan kepadanya, walaupun ia telah bersusah payah menanggung lapar dan dahaga.

Tuesday, September 8, 2009

perisai...

عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَهُ أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ. (رواه الترمذي)

Maksudnya :Dari Mu'az bin Jabal r.a., bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda kepadanya: "Mahukah aku tunjukkan kepadamu pintu-pintu kebajikan?" "Mahu, ya Rasulullah", jawabku. Baginda pun menerangkan, sabdanya: "Puasa itu perisai (dari kejahatan) dan sedekah pula menghapuskan dosa sebagaimana air memadami api "... (Riwayat Tirmizi)

Rasulullah SAW menyatakan bahawa puasa adalah perisai daripada melakukan kejahatan. Puasa yang sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi tidak mencegah diri daripada melakukan maksiat zahir dan batin maka puasanya tidak akan menjadi perisai sepertimana yang disabdakan oleh Baginda SAW. Ia bermaksud, dengan melaksanakan puasa yang sebenar-benarnya, kita dapat menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang buruk atau amalan-amalan yang tidak baik. Di samping itu hendaklah melaksanakan puasa disertakan dengan amalan-amalan kebajikan seperti besedekah dan lain-lain pula kerana ianya akan menghilangkan dosa dan noda daripada diri. Sebagaimana orang yang ke medan perang memerlukan perisai untuk mempertahankan diri daripada serangan musuh, begitu juga puasa memainkan peranan sebagai benteng diri daripada melakukan perkara-perkara yang buruk

Friday, September 4, 2009

seruan setiap malam ramadhan...

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ… يُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنْ النَّارِ وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ.
(الترمذي والنسائي)

Maksudnya: Dari Abu Hurairah, RA. dari Nabi SAW, sabdanya: "Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan menyerulah Malaikat, katanya: "Wahai orang yang mencari dan berkehendakkan kebaikan: Tampillah mengerjakannya, dan wahai orang yang merasa mahukan kejahatan; berhentilah dari meneruskannya; dan (ketahuilah) ALLAH banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka daripada memasukinya". Seruan dan keampunan yang demikian, ada pada tiap-tiap malam (dalam bulan yang tesebut)." (Tirmizi dan al-Nasa'i)

Lagi 2 hari kita bakal sampai kepada pertengahan RAMADHAN iaitu 15 Ramadhan, setakat ini sejauh manakah tahap ibadah kita? Bagaimana tahap keimanan kita? Adakah kita penuhkan malam-malam kita dengan ibadah? Sempatkah kita mengkhatamkan Al-Quran walau sekali dalam bulan ini? Sebanyak manakah sedekah jariah yang telah kita hulurkan?. Dalam hadis ini Rasulullah SAW, menyatakan: Apabila tiba bulan Ramadhan, Malaikat menyeru manusia menggunakan peluang yang baik itu dengan mengerjakan amal-amal kebajikan lebih dari biasa, dan sebaliknya mana-mana yang hendak melakukan kejahatan janganlah mereka melakukannya. Malaikat juga menerangkan tentang sifat pengampun ALLAH Taala yang membebaskan orang-orang yang berbuat berdosa. Semoga peluang yang baik dalam bulan yang mulia ini digunakan dengan sepenuhnya. Jika dibulan ini, kita masih belengah-lengah dalam melaksanakan kebaikkan, beerti kita telah mensia-siakan peluang yang diberikan, dan jika di bulan ini juga, kita masih lagi tidak berhenti daripada melakukan dosa dan masih suka kepada maksiat, maka kita adalah hamba yang sangat rugi. Sesungguhnya RAMADHAN adalah medan paling cepat untuk kita mencipta diri samada meningkat baik ataupun sebaliknya. Kita sedang berada di Fasa kedua pada Bulan ini, iaitu Fasa MAGFIRAH (KEAMPUNAN), masih berbaki 7 hari untuk kita meraikannya sebelum masuk fasa terakhir iaitu perlepasan api neraka ALLAH.., layakkah kita mendapat perlepasan api nerakaNYA jika kita masih dibelenggu dosa-dosa yang belum mendapat keampunanNYA...

Thursday, September 3, 2009

puasa kerana Allah...

عن أبي سعيد رضي الله عنه قال: سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول: من صام يوما في سبيل الله، بعد الله وجهه عن النار سبعين خريفا

Maksudnya: Daripada Abi Sa’id al Khudri r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang berpuasa satu hari di jalan Allah nescaya Allah akan menjauhkannya dari api Neraka selama 70 tahun.(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibadat puasa adalah ibadat yang mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi Allah SWT. Manfaat ibadat puasa bukan sahaja untuk membina kekuatan fizikal tetapi lebih penting daripada itu ialah dapat menyelamatkan sesiapa yang menunaikannya dengan ikhlas kepada Allah daripada api neraka. Sesuatu ibadat itu hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah bukannya kerana perkara lain barulah ianya diterima dan diberi ganjaran yang sewajarnya oleh Allah SWT. Amalan yang dilakukan kerana Allah walaupun sedikit akan tetap mendapat ganjaran daripada Allah SWT apatah lagi jika amalan tersebut sentiasa dilazimi. Sudah tentu ganjarannya akan berlipat ganda. Marilah menjadi hamba Allah SWT yang taat dan soleh, yang sentiasa melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara yang dilarangNya.

Wednesday, September 2, 2009

ganjaran Allah...

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata:” Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Riwayat Bukhari & Muslim

Puasa merupakan perkara ‘dharuriah’ dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, dikira berdosa besar. Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadhan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar dalam berhadapan dengan sebarang godaan sepanjang Ramadhan berlangsung. Bulan Ramadhan dikenali juga sebagai bulan prestasi, di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang-orang yang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah S.W.T bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai suatu ibadah kepada Allah S.W.T. Ramadhan adalah bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Allah telah menjanjikan kepada kita dengan pahala yang berlipat kali ganda. Justeru itu, marilah kita berusaha agar tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh sepanjang Ramadhan ini kerana bulan Ramadhan adalah bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah S.W.T.

Tuesday, September 1, 2009

perkara yang menggembirakan...

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ.
(رواه مسلم)

Maksudnya : Dari Abu Hurairah RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda: "orang yang berpuasa mendapat dua perkara yang menggembirakan. Pertama semasa ia berbuka puasa dan kedua semasa ia menemui Tuhannya (pada hari akhirat)".(Riwayat Muslim)

Orang yang berpuasa bergembira semasa berbuka puasa kerana dapat menyempurnakan ibadat puasanya dengan pertolongan ALLAH dan Taufiq-Nya. Kegembiraannya pada hari akhirat pula kerana mendapat ganjaran yang sebaik-baiknya. Sebagai tanda bersyukur akan nikmat ALLAH dan limpah kurnia-Nya, kita digalakkan berdoa, kerana pada saat berbuka puasa, doa orang-orang yang berpuasa sangat makbul. Hanya orang yang berpuasa sahaja yang akan menerima 2 perkara yang menggembirakan ini sepertimana yang telah dinyatakan oleh Nabi SAW. Kita digalakkan agar melahirkan kegembiraan ketika melakukan ibadat kepada ALLAH SWT dan ketika mendapat nikmat daripadaNya.